Saturday 20 April 2013

Rasulullah SAW Bertaubat 100 Kali Sehari

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Taubat adalah kembali daripada melakukan dosa atau maksiat. Rasulullah yang maksum itupun bertaubat 100 kali sehari. Mereka yang berdosa itu seolah-olah seperti meninggalkan Allah سبحانه وتعالى dengan tidak berlaku taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah سبحانه وتعالى.

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selagi (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pintu taubat juga akan tertutup serta-merta apabila matahari terbit dari barat iaitu ketika tiba hari yang sangat hampir kepada hari Qiamat.

Rasulullahﷺ bersabda : “Sesiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

As-Salafu Solihu mengetahui nilai taubat, lalu mereka sentiasa melakukan taubat. Perkara ini kerana orang yang berakal apabila memiliki harta yang banyak, kemudian habis tanpa ada faedah yang kembali kepadanya, tentulah dia berasa menyesal.

Begitulah umur bagaikan modal untuk membeli nikmat syurga. Alangkah ruginya umur itu hilang begitu saja tanpa bertaubat.

Rasulullah bersabda : “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadis riwayat Muslim).


Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas’ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat.

Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu. Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu dengan berlinangan air mata, lalu Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Lukman Al-Hakim pula berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. (Kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal mati) ku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dia dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.

Allah سبحانه وتعالى memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya :
وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Dan Allah سبحانه وتعالى menjanjikan menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya. Firman Allah :
قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّـهِ ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya,janganlah kamu putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)

Allah سبحانه وتعالى berfirman :
وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّـهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
…Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (menyintai) orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah سبحانه وتعالى kasih kepada orang yang beristighfar, taubatbersyukur dan melakukan  kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.

Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah سبحانه وتعالى. Sebaliknya, Allah سبحانه وتعالى membenci orang yang berperi laku jahat dan berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan dan bala daripada Allah سبحانه وتعالى. Alangkah bahagianya jika kita mendapat kasih sayang Allah سبحانه وتعالى.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah سبحانه وتعالى berfirman : “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:
  1. Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.
  2. Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.
  3. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.”

Rasulullah Wasiatkan Lima Perkara


Rasulullah bersabda : “Hai umatku, aku berwasiat kepada kamu sekalian dengan lima perkara:

Pertama, perbanyakkan olehmu dengan menyebut Allah daripada menyebut manusia.

Kedua, perbanyakkan olehmu dengan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

Ketiga, perbanyakkan olehmu dengan menyebut kejahatan dirimu daripada kebaikannya.

Keempat, perbanyakkan olehmu dengan menyebut mati daripada menyebut hidup dan

Kelima, perbanyakkan olehmu dengan menyebut kecelaan dirimu daripada menyebut kecelaan manusia.”

Kasih Lima Perkara Dan Lupa Lima


Sabda Rasulullah lagi : “Akan datang di atas umatku suatu masa, kasih mereka itu pada lima perkara dan lupa mereka itu juga lima perkara:

Pertama, kasih mereka itu akan hidup dan lupa mereka itu akan mati.

Kedua, kasih mereka itu akan harta dan lupa mereka itu akan hisab.

Ketiga, kasih mereka itu akan mahligai dan lupa mereka itu akan kubur.

Keempat, kasih mereka itu akan dunia dan lupa mereka itu akan akhirat.

Dan kelima, kasih mereka itu akan makhluk dan lupa mereka akan Tuhan.”

Seterusnya, sabda Rasulullah “Adalah syurga itu Tuhan sediakan untuk orang yang berbuat taat walaupun dia hamba Habsyi sekalipun. Dan neraka itu Tuhan sediakan untuk orang yang berbuat maksiat kepada-Nya, walaupun dia ketua atau keturunan yang mulia.”

.
.

Koleksi Video Taubat Pilihan.












وَالسَّلاَمْ





No comments:

Post a Comment